Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memaklumkan telah mengenakan penalti kewangan ke atas beberapa syarikat iaitu Setel Ventures, Standard Chartered Bank dan Standard Chartered Saadiq Berhad.
Kesemua syarikat ini disahkan dikenakan denda susulan ketidakpatuhan berhubung sekatan kewangan bersasar.
Sebagai penjelasan, pada 15 April lalu Setel Ventures telah dikenakan denda berjumlah RM637,500 kerana kegagalan mematuhi keperluan berkaitan sekatan kewangan bersasar (targeted financial sanctions, TFS). Jelas BNM, Setel telah gagal mengemas kini pangkalan data sekatan sebaik sahaja Senarai Domestik diterbitkan. Setel juga gagal untuk melakukan saringan sekatan ke atas senarai pelanggan dalam pangkalan data dan seterusnya gagal untuk menentukan sama ada padanan berpotensi merupakan padanan tepat. Ketidakpatuhan ini berpunca daripada prosedur operasi standard yang lemah.
Sementara Standard Chartered Bank pula dikenakan denda RM132,000 dan Standard Chartered Saadiq Berhad dikenakan denda RM132,000. Keduanya didapati gagal mengemas kini pangkalan data sekatan dengan segera selepas Senarai Domestik diterbitkan, yang menyebabkan saringan sekatan dilakukan berdasarkan pangkalan data yang tidak dikemas kini. Ketidakpatuhan ini berpunca daripada kelemahan dalam kawalan saringan sekatan SCB, serta kelemahan dalam memastikan proses saringan tersebut sejajar dengan keperluan kawal selia.
Dan berdasarkan pengenaan penalti kedua pihak telahpun melunaskan pembayaran tersebut kepada pihak berkuasa dan telah menambahbaik isu yang berbangkit. Dengan kepatuhan tersebut, BNM akan terus memantau secara berkala akan tatakelola yang dilaksanakan pada pasaran hadapan.