Dapatan terbaharu mengenai pasaran kerja di Malaysia bagi tahun 2026 mendedahkan satu fenomena unik dalam kalangan tenaga kerja tempatan, di mana wujud jurang yang jelas antara kecukupan gaji dengan kepuasan emosi. Walaupun 80% pekerja merasakan bahawa mereka menerima bayaran yang adil atau setimpal dengan skop kerja, namun hanya 49% yang mengakui benar-benar gembira dengan kadar pendapatan mereka.

Data Jobstreet ini menunjukkan bahawa persepsi ganjaran setimpal tidak semestinya menjamin kepuasan hati. Situasi ini turut dipengaruhi oleh ketidaksamaan mengikut sektor, di mana industri seperti Teknologi, Pembinaan, serta Runcit dan Hospitaliti merekodkan tahap kepuasan tertinggi pada kadar 40%, berbanding Sektor Awam dan Perindustrian yang hanya mencatatkan 33%.
Pentingnya tahap kepuasan gaji ini ia memberikan impak langsung kepada produktiviti dan kadar pengekalan bakat dalam sesebuah organisasi. Pekerja yang gembira dengan ganjaran mereka didapati 2.9 kali ganda lebih cenderung untuk memberikan usaha berlebihan dalam tugas harian. Sebaliknya, pekerja yang tidak gembira adalah 2.5 kali ganda lebih berisiko untuk berfikir mencari peluang kerjaya baharu di syarikat lain. Malah, demi mendapatkan kenaikan gaji sebanyak 10%, sebahagian pekerja sedia berkorban dengan wujudnya 21% yang sanggup bertugas di luar waktu kerja, 19% sanggup menerima jawatan lebih rendah, dan 17% sedia berpindah ke bandar atau negara lain.
Jurang persepsi ganjaran ini turut memperlihatkan perbezaan ketara mengikut demografi generasi, di mana golongan Gen Z mencatatkan tahap kepuasan tertinggi dengan 47% daripada mereka rasa dibayar dengan baik, berbanding Millennials (34%) dan Gen X (25%). Perbezaan ini mencerminkan jangkaan kerjaya dan keperluan hidup yang berbeza mengikut peringkat umur. Justeru, majikan perlu beranjak daripada sekadar menawarkan gaji yang ‘adil’ kepada membina persekitaran kerja yang menghargai sumbangan pekerja secara menyeluruh.
Rnggt berpandangan perbincangan gaji yang telus dan berterusan bukan sahaja mampu membangunkan rasa percaya, malah menjadi strategi kritikal untuk mengekalkan bakat terbaik dalam organisasi.