UOB Malaysia, Kumpulan Perbankan RHB (RHB) dan Malayan Banking Berhad (Maybank) hari ini mengumumkan berjaya mencatat sejarah dalam pasaran kewangan negara dengan menyempurnakan transaksi pasaran wang antara bank bertempoh tiga bulan berasaskan Kadar Semalaman Malaysia (MYOR) yang pertama di Malaysia.
Transaksi sulung yang dilaksanakan pada 14 Ogos 2026 ini diterajui oleh UOB Malaysia menerusi broker pasaran wang, menggunakan konvensyen pengiraan semakan balik (lookback) dua hari. Langkah ini menandakan pencapaian penting dalam menyokong peralihan industri kewangan tempatan ke arah penggunaan kadar bebas risiko yang lebih kukuh.
Pelaksanaan transaksi ini meningkatkan ketelusan pasaran secara ketara kerana kadar pembiayaan dan margin kos kini boleh dilihat oleh rangkaian peserta pasaran yang lebih luas. Berbeza dengan urus niaga dua hala sebelum ini yang bersifat peribadi – di mana maklumat harga hanya diketahui oleh pihak yang bertransaksi, pendekatan baharu ini membolehkan penetapan harga dilakukan secara lebih terbuka dan saksama.
Dengan mewujudkan pembiayaan MYOR yang jelas sebagai rujukan pembiayaan antara bank, institusi kewangan kini mempunyai penanda aras yang lebih tepat untuk mengukur kos pinjaman. Ketelusan ini membolehkan bank dan pelabur memahami perbezaan margin pembiayaan berasaskan MYOR dengan lebih baik, sekali gus menyokong penentuan harga yang lebih cekap dan berdaya saing merentasi pelbagai produk kewangan di pasaran.
Secara keseluruhannya, penggunaan MYOR ini menjadi batu loncatan penting untuk membina kecairan pasaran yang lebih mendalam serta membuka ruang kepada pelbagai penyelesaian kewangan baharu pada masa hadapan.