Arab Saudi dan Perancis kini mencapai kesepakatan menerusi memorandum persefahaman (MoU) – yang mana MoU ini kelak akan memperlihatkan pelaburan Arab Saudi bernilai $7 bilion (kira-kira RM31 bilion) direalisasikan bagi membina 3 taman tema berdekatan Cergy-Pontoise iaitu 30 kilometer di barat laut kota Paris.
Pembangunan berskala besar ini menurut laporan bukan sahaja mengukuhkan hubungan strategik serta diplomatik antara kedua-dua buah negara, malah dijangka bakal merangsang ekonomi kedua pihak dengan mewujudkan lebih 22,000 peluang pekerjaan secara langsung.
Menariknya, pentadbiran Perancis mengesahkan salah satu daripada taman tema tersebut dijangka berteraskan konsep manga dan budaya pop, manakala tema bagi dua lagi pembangunan gergasi tersebut masih belum diumumkan secara rasmi. Langkah berani ini dijangka menjadikan Paris sebagai hab hiburan baharu yang bakal menarik jutaan pelawat dari seluruh dunia.