Pulau Pinang kini menjadi negeri pertama di Malaysia dalam menguatkuasakan Undang-Undang Kecil Tempat Inap Persendirian (Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Pulau Pinang) 2026 mulai 1 Ogos lalu, bagi memacu kawal selia dan penguatkuasaan pengoperasian tempat inap persendirian (TIP).
Rentetan penguatkuasaan ini, pengendali inap desa berkaitan diberi tempoh 2 bulan untuk memohon lesen pada PBT dan perlu mematuhi syarat berkaitan pengoperasian, kebersihan, keselamatan, aktiviti larangan serta kawalan gangguan.
Malah PBT turut diberi mandat untuk menjalankan pemeriksaan, siasatan, memasuki premis serta menutup premis sekiranya berlaku sebarang pelanggaran syarat.
Permohonan lesen ini dijelaskan akan melibatkan pengenaan fi pentadbiran sebanyak RM50 bagi setiap permohonan, manakala fi lesen ialah RM1,000 setahun bagi premis hingga 3 bilik dan tambahan RM200 setahun bagi setiap bilik tambahan. Selanjutnya , fi TIP sebanyak RM1,800 setahun bagi setiap unit akan Di kenakan, manakala pemilik premis yang gagal mematuhi undang-undang kecil itu boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.
Semua pengendali inap desa perlu fahami, kawasan yang dibenarkan untuk khidmat TIP ini tertakluk kepada kawalan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sahaja, untuk pulau pula – zon terlibat adalah selaras bawah Draf Rancangan Tempatan MBPP 2040 dan Rancangan Kawasan Khas Tapak Warisan Dunia George Town.
Secara menyeluruh khidmat TIP merujuk kepada aktiviti penginapan jangka pendek tidak melebihi enam bulan berturut-turut tanpa hubungan sewaan antara pemilik dan penyewa, sama ada diuruskan sendiri atau menerusi platform tertentu yang mengenakan bayaran.