Artikel

Ini Sorotan Perjalanan Khairul Aming – Strategi Produk Ke-4 Dan Sasaran 2027

Berpengalaman selama 6 tahun dalam jualan produk makanan tempatan dengan kekuatan 100 orang kakitangan, Khairul Aming (KA) membuktikan bahawa keberhasilan sesebuah jenama tidak bergantung kepada tuah semata-mata. Daripada perancangan produk terbaharu seperti Sambal Nyet Bilis hingga kejayaan meraih jualan RM2 juta dalam tempoh 1 minit 5 saat, setiap tindakan yang diambil dirangka berdasarkan analisis data, maklum balas pengguna dan pengalaman lalu.

Perkongsian pada TikTok Shop Summit 2026 minggu ini memberikan gambaran menyeluruh tentang tatacara menguruskan fasa pra-pelancaran, strategi penukaran dalam siaran langsung, kecekapan rantaian bekalan, ketelusan perniagaan, serta falsafah kepimpinan yang berasaskan penyelesaian masalah. Ini antara perkongsian utama yang ditekankan KA buat para usahawan dan penggerak industri tempatan.

#1 Pengurusan Garis Masa, Naratif Pemasaran Perlu Selari Sebelum Perkenal Produk Baharu

Kejayaan pelancaran sesuatu produk bermula jauh sebelum butang livestream ditekan. KA menepis pendekatan wait and see sebaliknya mengamalkan prinsip wait and action, di mana perancangan pelancaran sesuatu produk baharu seperti Sambal Nyet Bilis sebenarnya memakan masa sehingga setahun. Selepas lonjakan jualan pada suku pertama sewaktu musim perayaan, fasa perlahan pada bulan Mei hingga Julai dimanfaatkan sepenuhnya untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta penyediaan rapi. Perkara ini sewajarnya diutamakan kumpulan peniaga sekiranya ingin melancarkan produk baharu.

Selain persediaan yang lebih rapi pada pelaksanaan pelancaran, kumpulan peniaga juga wajar mengfokuskan kepada kekuatan video promosi. Berdasarkan pengalaman lalu, KA dapati fokus pengguna tertumpu kepada ganjaran percutian semata. Situasi ini bermakna naratif pemasaran yang lebih terperinci perlu dilaksanakan. Disebabkan komitmen itu, pada pelancaran produk 2026 – KA menggunakan video berkonsep dokumentari bersama nelayan. Langkah ini tidak sekadar mempromosikan produk, malah memanusiakan rantaian bekalan tempatan. Pendekatan ini memastikan produk itu bercerita dengan sendirinya dan dihargai kerana kualiti sumber alam Malaysia, bukannya dibeli semata-mata kerana populariti pengasasnya.

#2 Manfaatkan Ruang, Peluang Bersama Produk Tempatan Lain

Memegang rekod tontonan serentak tertinggi sebanyak 388,000 pengguna sewaktu pelancaran Sambal Nyet Bilis iaitu sekitar 4.5 kali ganda kapasiti Stadium Nasional Bukit Jalil — KA menunjukkan penguasaan ketara dalam ekosistem livestreaming. Waktu siaran ini dijelaskan telah diawalkan ke jam 8.30 malam, iaitu 30 minit sebelum jualan dibuka pada jam 9.00 malam untuk digunakan secara optimum dengan mendidik penonton berkenaan kualiti dan cerita di sebalik produk, sekali gus membina keterujaan tanpa tekanan menjual yang berlebihan. Langkah teknikal ini turut memastikan kestabilan aliran trafik agar platform TikTok Shop tidak mengalami kejanggalan.

Strategi paling menarik pada tahun 2026 adalah keputusan untuk tidak menamatkan siaran langsung sejurus produk utama habis dijual. Berbelajar daripada pengalaman tahun 2025 di mana siaran ditamatkan seawal 30 minit kerana kehabisan stok, KA merangka kolaborasi bersama dua jenama tempatan iaitu Oriental Kopi dan Nelly Cosmetic. Menggunakan formula pengagihan trafik, slot Oriental Kopi diserapkan sejurus jualan sambal selesai sewaktu penonton berada pada paras 100,000. Manakala slot Nelly Cosmetic diletakkan pada jam 11.00 malam ketika tontonan berada pada paras 30,000 pengguna. Strategi ini memanfaatkan kecekapan logistik rakan kongsi sekali gus memaksimumkan penukaran jualan sepanjang tempoh 3 jam siaran. Hasilnya kesemua produk berjaya dijual.

#3 Kawalan Kualiti, Kecekapan Logistik – Nadi Utama Kelangsungan Jenama

Kejayaan mencatatkan angka jualan RM2 juta dalam masa 1 minit 5 saat dan terkumpul RM7 juta dalam tempoh dua minggu boleh menjadi bencana jika tidak disokong oleh ekosistem logistik yang mantap. KA menekankan bahawa angka jualan yang besar menuntut kesediaan pengurusan bekalan yang setimpal. Perbandingan prestasi logistik syarikatnya menunjukkan peningkatan kecekapan yang ketara dari tahun ke tahun telah pun dicapai iaitu 2024 segmen logistik mengambil masa 2 minggu untuk menyelesaikan pembungkusan bernilai RM1 juta, tatkala 2025 mengambil masa seminggu untuk penyelesaian bungkusan jualan RM1 juta dan 2026 mengambil masa seminggu untuk penyelesaian bungkusan jualan RM2 juta.

Tegas KA, kecekapan pemprosesan pesanan ini penting bagi mengelakkan implikasi ulasan negatif yang boleh merosakkan reputasi jenama secara kekal. Selain kecekapan pembungkusan, kawalan kualiti dijalankan secara konisten menerusi ujian rasa sampel harian bagi memastikan standard rasa produk sambal kekal terpelihara. Peniaga diingatkan agar “mengukur baju di badan sendiri” iaitu tidak terlalu mengejar angka jualan jika keupayaan logistik dan pengurusan dalaman belum bersedia untuk menampung lonjakan pesanan tersebut.

#4 Utamakan Integriti Dalam Perniagaan

Mengulas persoalan daripada para usahawan kecil TikTok Shop, KA menegaskan alam perniagaan merupakan satu perjalanan yang berisiko. Maka peniaga tidak sepatutnya bergantung kepada suntikan semangat luaran atau bergantung kepada kandungan beremosi dan isu tular semata-mata untuk menaikkan jualan. Sebaliknya, semangat perlu dijana daripada hasil kejayaan perniagaan itu sendiri. Fokus utama bagi perniagaan peringkat awal adalah membuat jualan dan menguruskan aliran tunai. Dengan pendekatan tersebut prestasi perniagaan dapat dilihat secara berkala dan ditambahbaik berdasarkan permintaan semasa.

Selain memupuk ketahanan mental yang tinggi, integriti dalam perniagaan harus menjadi teras utama peniaga negara. Prinsip ini wajar ada pada setiap peniaga dengan memenuhi tanggujawab mereka bersama pembeli. Tidak hanya sokongan pengguna, menjaga hak pekerja juga adalah keutamaan majikan selain melunaskan tanggungjawab seperti percukaian, tempoh bekerja lebih masa dan kebajikan tertentu. Perlindungan sedemikian tidak hanya menjaga kualiti jenama tetapi akan membantu perniagaan untuk terus relevan pada suatu tempoh yang lama.

KA juga menyarankan kumpulan peniaga, usahawan digital untuk utama tindakan mendaftar cap dagang melalui myIPO. Dengan pengesahan rasmi itu, ia tidak sekadar membantu hak cipta tempatan tetapi meluaskan lagi rangkaian produk dan menepis tindakan peniruan produk di arena perdagangan tempatan.

#5 Pelaburan, Kategori Produk Baharu, Siri Kandungan Yang Lebih Besar – Jadi Tumpuan KA Pada 2027

Secara menyeluruh KA menyifatkan majikan perlu bertindak rasional dengan memastikan setiap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan kepada pekerja disokong oleh peralatan, sistem, dan sumber yang mencukupi. Jika pekerja menghadapi kekangan, majikan perlu turun menyelesaikan halangan tersebut dan bukannya menindas tenaga kerja.

KA yang menjadikan ibunya sebagai sumber inspirasi asas dalam kejayaan hari ini turutn menyarankan agar semua peniaga dan usahawan terus mencari pengetahuan dalam menambahbaik strategi perniagaan mereka. Dengan ilmu, rujukan bersama rakan industri, usaha ini dilihat berupaya meluaskan lagi peluang ekonomi di Malaysia dan seterusnya lebih ramai pihak dapat meraih pencapaian sebagaimana dirinya.

Menatap masa hadapan, berbekalkan dengan modal yang terkumpul hasil perniagaan – KA merancang untuk melangkah ke fasa pelaburan dalam perniagaan kecil tempatan menerusi bimbingan berstruktur. Beliau juga kini giat meneroka kepelbagaian kategori produk baharu di luar sektor makanan, di samping merangka siri kandungan Ramadan terbesar sempena ulang tahun ke-10 jenamanya pada tahun 2027 kelak. Sama-sama kita nantikan!