Kerajaan Malaysia menyasarkan untuk mengurangkan jumlah pekerja asing kepada 10% daripada keseluruhan tenaga kerja negara menjelang tahun 2030.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, (MITI) pada laporan menyatakan bahawa had maksimum pekerja asing telahpun diturunkan daripada 15% kepada 13% tahun ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan pengurangan seterusnya akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh empat tahun akan datang.
Langkah ini diambil bagi menggalakkan sektor perniagaan tempatan mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing murah dan mula melabur secara serius dalam bidang automasi, teknologi, serta pembaikan proses bagi bergerak ke rantaian nilai yang lebih tinggi.
Bagi menyokong peralihan industri ini, kerajaan menyediakan pelbagai insentif dan di bawah RMK13, Malaysia menetapkan sasaran pertumbuhan produktiviti buruh purata tahunan sebanyak 3.6%, yang dijangka melonjakkan nilai produktiviti setiap pekerja daripada RM104,556 pada tahun 2025 kepada RM122,745 menjelang tahun 2030.
Peningkatan ini penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara terhasil daripada pengagihan semula sumber ke arah aktiviti yang lebih produktif dan bukannya sekadar bergantung kepada kerja keras secara manual semata-mata. Dalam pada itu, syarikat multinasional (MNC) terutamanya yang menikmati pertumbuhan pesat dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta eksport berkaitan kecerdasan buatan (AI) turut digesa untuk berkongsi keuntungan bersama pekerja tempatan menerusi pemberian gaji dan bonus yang lebih tinggi.
Ini kerana pertumbuhan modal dan kejayaan syarikat-syarikat ini disokong oleh insentif cukai serta dasar mesra perniagaan kerajaan, selain sumbangan berterusan tenaga kerja tempatan. Justeru, adalah wajar untuk faedah ekonomi ini dinikmati bersama oleh pekerja tempatan menerusi pendapatan yang lebih saksama seiring dengan transformasi industri negara.