Selaras dengan perluasan pelaburan digital – Halogen Capital, pengurus dana aset digital tempatan berlesen dan peneraju pengurusan kekayaan patuh Syariah kini telah melancarkan platform B2B2C baharu bernama Halogen Partner Portfolios.
Platform ini membolehkan perancang kewangan berlesen, Penasihat Unit Amanah Korporat (CUTA), dan wakil pemasaran menawarkan portfolio pelaburan pelbagai aset bertaraf institusi kepada pelabur biasa dengan pelaburan permulaan serendah RM1,000. Strategi pelaburan ini untuk makluman menggabungkan ekuiti global, bon tempatan, emas, serta pendedahan terkawal kepada aset digital seperti mata wang kripto.
Dengan akses sedemikian, penasihat tidak lagi melakukan dagangan manual atau memantau pasaran secara berterusan; mereka hanya perlu memadankan pelanggan dengan profil risiko yang sesuai, manakala pihak Halogen Capital akan mengendalikan peruntukan aset, pengimbangan semula, dan pemantauan portfolio. Langkah ini memberi ruang kepada penasihat untuk lebih fokus dalam membina hubungan rapat dan memahami keperluan kewangan pelanggan mereka.
Sebagai permulaan, platform ini menawarkan siri Halogen Core Portfolios yang dikategorikan kepada tiga profil risiko iaitu Konservatif (risiko rendah dengan sasaran pulangan 5–6% setahun), Seimbang (risiko sederhana, 6–10% setahun), dan Pertumbuhan (risiko tinggi, 10–15% setahun). Platform ini menyediakan infrastruktur digital lengkap termasuk pendaftaran digital, penyusunan yuran yang fleksibel, dan pelaporan bersepadu. Setakat ini, Halogen Partner Portfolios telah mengumpul lebih RM30 juta aset di bawah pengurusan (AUM) dan menyasarkan pencapaian RM1 bilion AUM dalam tempoh satu tahun akan datang.