Artikel

Ekonomi Malaysia Mampu Melonjak 8 Kali Ganda Menjelang 2100 – McKinsey

Malaysia dilihat berpotensi menyaksikan saiz ekonomi berkembang 8 kali ganda menjelang 2100, tatkala kekayaan per kapita rakyat diunjurkan meningkat 5 kali ganda – potensi ini membuka ruang kepada taraf hidup yang lebih baik di pasaran hadapan.

Berdasarkan perkongsian McKinsey Global Institute (MGI) bersama Rnggt pada sesi meja bulat media hari ini, sepanjang satu abad yang lalu – saiz keseluruhan ekonomi Malaysia telah berkembang lebih 160 kali ganda manakala taraf pendapatan rakyatnya meningkat melebihi 19 kali ganda. Malaysia kini berada dalam kumpulan negara berpendapatan sederhana tinggi dengan rekod pertumbuhan pendapatan purata 3.3% sebelum ini. Bagi mencapai sasaran menjadi negara kaya menjelang 2100, Malaysia tidak memerlukan tindakan drastik ekonomi yang luar biasa – cukup sekadar konsisten mengekalkan kadar pertumbuhan purata 2% hingga 3% setiap tahun.

Namun aliran kemajuan ini kekal berdepan kekangan kesan krisis dunia melibatkan penuaan populasi, penurunan kadar kesuburan, perubahan iklim, serta ketegangan geopolitik yang menjejaskan perdagangan bebas yang sekali gus memberi tekanan kepada pertumbuhan ekonomi. Realiti ini amat bertepatan dengan cabaran semasa Malaysia, yang kini sedang berdepan dengan peralihan status ke arah negara tua serta keperluan mendesak untuk meningkatkan kadar produktiviti negara agar tidak terperangkap dalam perangkap pendapatan sederhana.

Bagi menangani kekangan ini, Malaysia perlu memperkasakan pendorong utama kemajuan—terutamanya dalam aspek kemahiran pekerja, pelaburan strategik, dan teknologi. Penggunaan teknologi canggih seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan bioteknologi perlu diterapkan secara meluas dalam sektor perindustrian dan perkhidmatan tempatan untuk melonjakkan produktiviti. Pada masa yang sama, seiring dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Malaysia berada di landasan yang betul untuk membangunkan infrastruktur tenaga bersih serta memacu ekonomi hijau yang mapan.

Dengan memperkukuh ketahanan ekonomi, memupuk inovasi tempatan, dan memastikan pertumbuhan yang inklusif, Malaysia berupaya membina asas yang kukuh untuk menjamin kesejahteraan generasi akan datang.