Pulau Pinang masih mengekalkan cadangan pembinaan jambatan ketiga atau terowong dasar laut yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di bawah Draf Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2040 (RSNPP 2040) (Kajian Semula).
Usul berkenaan mengikut laporan dijelaskan kekal terkandung dalam dokumen perancangan negeri memandangkan perjanjian berkaitan projek tersebut masih sah dan tertakluk kepada jadual pembangunan yang telah ditetapkan. Namun, menyentuh tempoh pelaksanaan projek berkenaan, Ketua Menteri Chow Kon Yeow pada sidang penyertaan awam Draf RSNPP 2040 hari ini menjelaskan bahawa tindakan lanjut masih bergantung kepada persetujuan pihak kerajaan serta sektor swasta yang merancang pembangunan tersebut.
Untuk makluman, Draf RSNPP 2040 merupakan dokumen perancangan strategik yang menggariskan hala tuju pembangunan Pulau Pinang sehingga tahun 2040, merangkumi pelbagai aspek termasuk infrastruktur fizikal, ekonomi, sosial, dan kelestarian negeri secara menyeluruh.