Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini menunjukkan perkembangan yang positif apabila tahap kemajuan keseluruhan telah mencapai 95.08% bagi jajaran Kota Bharu, Kelantan ke Gombak, Selangor.
Dengan prestasi itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) memberi cabaran kepada pengendali ECRL untuk memulakan perkhidmatan ini dengan lebih awal iaitu pada Disember 2026.

Menerusi matlamat itu, MOT bersedia menjadi pemudah cara buat Malaysia Rail Link (MRL) dan kontraktor utama China Communications Construction Company (CCCC) untuk meningkatkan kckepan proses kelulusan dan pengujian khussnya Fault-Free Run (FFR) yang membolehkan operasi ECRL dimulakan dengan lebih awal tanpa menjejaskan faktor keselamatan.
Sekiranya cadangan perkhidmatan dibuka lebih awal itu dapat direalisasikan, MOT melihat akses ini dapat memberi manfaat yang berganda buat rakyat Malaysia berikutan tempoh ketika ini merupakan cuti hujung tahun. Buat pengetahuan permulaan khidmat ini akan tertumpu pada jajaran Fasa 1 sebelum diperluaskan kepada Fasa 2 melibatkan jajaran dari Gombak ke Pelabuhan Klang pula dijangka dapat diselesaikan menjelang akhir 2027 dengan sasaran operasi penuh pada Januari 2028.