Perkhidmatan DuitNow dimaklumkan akan mengalami gangguan akses seketika pada 18 Ogos ini – selama 4 jam iaitu bermula 2 pagi sehingga 6 pagi. Gangguan ini mengikut makluman PayNet adalah selari dengan amalan penyelenggaraan sistem DuitNow secara berkala bagi meningkatkan tahap keselamatan sistem pemindahan kewangan tersebut.
Berdasarkan notis semasa, beberapa institusi perbankan utama seperti Maybank, Public Bank, OCBC, Al Rajhi Bank, Hong Leong Bank dan HSBC telah pun memaklumkan isu gangguan tersebut pada perhatian pengguna perbankan mereka.
Oleh itu, sepanjang tempoh penyelenggaraan ini, pelbagai fungsi di bawah DuitNow tidak dapat diakses menerusi aplikasi perbankan mahupun portal web. Ini merangkumi transaksi asas DuitNow, DuitNow QR, DuitNow Online Banking/Wallets (DOBW), DuitNow Auto Debit, DuitNow Request serta DuitNow Rentas Sempadan.
Dengan makluman tersebut pengguna tidak akan dapat melakukan sebarang imbasan QR atau pemindahan segera menggunakan DuitNow pada waktu yang dimaklumkan. Maka untuk mengatasi kesulitan itu, para pengguna dinasihatkan melaksanakan transaksi dengan lebih awal atau melakukan pembayaran menerusi Interbank GIRO (IBG) sebagai alternatif.