Bain Capital, syarikat pelaburan global kini telah bersetuju untuk mengambilalih rangkaian teh terkenal Taiwan, Gong Cha daripada syarikat ekuiti TA Associates pada nilai lebih $635 juta iaitu sekitar RM2.8 bilion.
Pengambilalihan ini menurut laporan Nikkei Asia dijangka dapat dimuktamadkan sepenuhnya pada akhir 2026 ini. Dengan peralihan syarikat induk jenama ini, langkah strategik itu dilihat dapat memacu hala tuju perluasan jenama Gong Cha pada pasaran global.
Setakat ini rancangan perluasan rangkaian tertumpu pada pasaran teras antaranya seperti Jepun dan Korea Selatan selain menembusi pasaran Amerika Syarikat (AS) dengan lebih agresif. Secara menyeluruh, Gong Cha kini telah mengendalikan lebih 2,000 cawangan di kira-kira 30 buah negara setelah melepasi beberapa fasa pertukaran pemilikan utama.
Dengan unjuran pasaran kafe teh global berpotensi berkembang daripada $56.26 bilion pada 2025 kepada $73.78 bilion menjelang 2030, pengambilalihan ini meletakkan Gong Cha pada kedudukan yang amat strategik untuk menguasai bahagian pasaran yang lebih besar.