Artikel

Lebih 14.2 Juta Rakyat Manfaat BUDI95, Penggunaan Cecah 13.4 Bilion Liter – MOF

Seramai lebih 14.2 juta daripada 16.7 juta rakyat Malaysia yang layak menerima BUDI95 kini direkodkan memanfaatkan akses subsidi bersasar RON95, dengan jumlah penggunaan melebihi 13.4 bilion liter.

Berdasarkan data Kementerian Kewangan (MOF) yang dibentangkan di Dewan Negara, rekod bagi tempoh Oktober 2025 hingga Jun 2026 menunjukkan kurang daripada 1% pengguna BUDI95 menggunakan lebih 200 liter RON95 secara konsisten setiap bulan. Purata penggunaan bulanan pengguna secara umumnya direkodkan sekitar 100 liter.

Perkembangan positif ini membuktikan inisiatif subsidi bersasar bukan sahaja memberi kelegaan kewangan kepada rakyat, malah berupaya memberikan anggaran penjimatan fiskal kepada kerajaan sehingga RM4 bilion setahun. Namun, jumlah penjimatan fiskal berkenaan masih tertakluk kepada pergerakan harga minyak mentah dunia, kadar pertukaran mata wang asing, serta corak penggunaan semasa pengguna.