Artikel

Perak Rekod Warga Emas Tertinggi, Perlis Dan Putrajaya Didominasi Wanita – DOSM

Selari dengan perkembangan jumlah penduduk Malaysia yang kini mencatatkan anggaran 34.4 juta orang pada 2026. Rekod itu sekali gus turut meningkatkan jumlah penduduk mengikut kategori usia dan nisbah jantina.

Tinjauan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memperincikan setakat ini terdapat 12 negeri telah mencapai status negeri menua dengan Perak menjadi negeri tertinggi miliki penduduk warga emas bersama kadar 15.7%, diikuti Sarawak (14.5%), Kedah (14%), Pulau Pinang (13.7%) dan Negeri Sembilan (13.2%).

Selaras dengan perubahan struktur umur penduduk ini, umur penengah penduduk Malaysia kini turut meningkat kepada 31.7 tahun pada 2026 berbanding 31.3 tahun pada tahun sebelumnya.

Selain perkembangan itu, menariknya DOSM turut dapati Perlis dan Putrajaya merupakan dua negeri yang mencatatkan bilangan perempuan melebihi lelaki dengan nisbah jantina masing-masing sebanyak 99 dan 97 lelaki bagi setiap 100 perempuan. Sebaliknya, Kuala Lumpur pula merekodkan nisbah jantina lelaki tertinggi iaitu 117 lelaki bagi setiap 100 perempuan, diikuti Johor (115), Pahang (114) dan Selangor (114).