Artikel

Pelan Sektor Kewangan 2026-2031 Bakal Dilancarkan – Pacu Ekonomi Negara

Pelan Sektor Kewangan 2026–2031 bakal dilancarkan sebagai langkah strategik untuk memastikan sistem kewangan negara kekal relevan dan berdaya saing.

Gabenor Bank Negara Malaysia pada sidang SS2026 hari ini menegaskan bahawa daya tahan sektor kewangan bukan sekadar mengekalkan status quo, sebaliknya menuntut keupayaan berterusan untuk membuat penyesuaian serta merebut pelbagai peluang baharu yang muncul seiring dengan perubahan lanskap ekonomi global. Ini bermakna sistem kewangan negara perlu berevolusi secara dinamik agar sejajar dengan kemajuan Malaysia menuju masa hadapan.

Maka dengan pelan baharu 5 tahun ini, ia direka khusus untuk memperkukuh asas kewangan negara, membolehkannya mendepani cabaran baharu serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang berkesan dan inklusif.

Pelan Sektor Kewangan 2026–2031 ini untuk makluman akan dibimbing oleh tiga aspirasi utama, iaitu mewujudkan kewangan untuk masyarakat yang lebih berdaya tahan, membina kewangan untuk masyarakat yang lebih makmur, dan memperteguh sistem kewangan Malaysia untuk masa hadapan. Menerusi kerangka ini, BNM bersedia memacu sektor kewangan yang lebih kukuh, inovatif, dan bersedia menghadapi persekitaran ekonomi yang semakin kompleks.