Artikel

iTEKAD Kerjaya Diperkenalkan – Bantu B40 Perkasa Sumber Pendapatan

Sebagai langkah nyata untuk memperkasakan taraf hidup masyarakat, Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini secara rasminya melancarkan program iTEKAD Kerjaya di Sasana Symposium 2026 (SS2026).

Program terbaharu ini direka khas di bawah naungan inisiatif kewangan sosial iTEKAD bagi melengkapi program Keusahawanan dan Perlindungan sedia ada, sekali gus menyediakan laluan kerjaya yang lebih tersusun dan stabil buat golongan yang memerlukan.
Inisiatif ini memberi tumpuan utama kepada individu daripada komuniti yang mudah terjejas melibatkan B40 dan berpendapatan rendah untuk membina sumber pendapatan yang mampan. Melalui kerjasama strategik antara institusi kewangan, pelabur, penyedia latihan, dan syarikat korporat, peserta akan dibekalkan dengan latihan kemahiran berasaskan permintaan pasaran serta pendidikan kewangan yang komprehensif.

Selain pemantapan kemahiran, iTEKAD Kerjaya turut menyediakan sokongan langsung dalam penempatan pekerjaan dan akses kepada penyelesaian kewangan yang sesuai. Pendekatan holistik ini memastikan peserta bukan sahaja mendapat peluang pekerjaan baharu, malah berupaya menguruskan kewangan kendiri dengan lebih bijak demi meningkatkan kesejahteraan hidup keluarga mereka.

Berdasarkan pelancaran itu, untuk peringkat awal program ini akan meraih sokongan sebilangan institusi perbankan antaranya Bank Islam, Bank Muamalat, CIMB Islamic, Maybank Islamic, Public Islamic Bank, RHB Islamic Bank, SME Bank dan BPMB. Dengan makluman tersebut, semua pihak boleh dapatkan perincian seterusnya menerusi pautan iTekad Kerjaya.