Artikel

2 Dalam 5 Rakyat Malaysia Kurang Tidur – Alpro, NITORI Bekerjasama Pacu Kualiti Hidup Di Rumah

Menyedari kualiti tidur dan tahap kesejahteraan mental kalangan rakyat Malaysia berdepan risiko – Alpro Group dan NITORI kini mengumumkan kerjasama strategik bagi meluaskan kesedaran penjagaan kesihatan yang lebih baik di peringkat isi rumah. Langkah ini diambil berlandaskan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 yang menunjukkan kira-kira dua daripada lima rakyat Malaysia tidak mendapat tidur yang mencukupi setiap hari.

Menerusi kolaborasi ini, Alpro akan memberi tumpuan kepada pendidikan penjagaan kesihatan pencegahan, kesedaran terhadap kesihatan tidur, serta penawaran panduan profesional. Pada masa yang sama, NITORI Malaysia bakal memperkenalkan pelbagai penyelesaian kediaman yang direka khas untuk meningkatkan keselesaan, kebersihan tidur, dan kualiti kehidupan secara keseluruhan.

Bagi memperkukuh usaha ini Alpro Health, cabang kesejahteraan korporat di bawah Alpro Group—turut menyediakan kepakaran psikologi klinikal, inisiatif saringan kesejahteraan mental, dan program pendidikan pencegahan. Usaha bersepadu ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai pengurusan tekanan, kesejahteraan emosi, dan kepentingan tidur yang berkualiti.

Sebagai pelengkap kepada kerjasama ini, kedua-dua belah pihak turut merancang untuk menganjurkan pelbagai bengkel kesihatan tidur, program pendidikan, serta aktiviti libat urus komuniti. Inisiatif ini diharapkan dapat terus memupuk kesedaran awam tentang betapa pentingnya persekitaran rumah yang sihat dalam menyokong gaya hidup yang sejahtera.