Selari dengan perkembangan penggunaan kenderaan elektrik di Malaysia, pembangunan sehingga 30,000 unit pengecas EV awam kini sedang diteliti menjelang 2030. Keperluan semakan ini penting untuk memastikan rangkaian pengecasan negara terus meluas beriringan dengan pertumbuhan EV negara.
Penelitian ini berdasarkan notis Parlimen – turut merangkumi kapasiti grid elektrik Malaysia serta tahap kesiapsiagaan ekosistem pasaran.
Setakat 31 Mei 2026, sebanyak 25,523 unit Battery Electric Vehicle (BEV) telah didaftarkan pada tahun 2026 menjadikan jumlah terkumpul pendaftaran BEV sejak tahun 2018 mencapai lebih 105,000 unit. Perkembangan itu sekali gus mencerminkan peningkatan keyakinan pengguna terhadap teknologi EV serta keperluan untuk memperkukuhkan penyediaan infrastruktur sokongan secara berterusan.
Bersama pertumbuhan itu, ketika ini pembangunan infrastruktur pengecasan EV telah memaparkan kemajuan positif dengan sebanyak 6,416 unit pengecas EV awam telah beroperasi di seluruh Malaysia. Ini meliputi 2,143 unit pengecas arus terus (DC) dan 4,273 unit pengecas arus ulang alik (AC).
Perluasan unit pengecas ini amat wajar memandangkan nisbah semasa menunjukkan terdapat sekitar 16 buah EV bagi setiap pengecas awam di pasaran tempatan. Pertambahan unit pengecas di pasaran adalah penting bagi memastikan pengalaman pengguna EV kekal optimum, terutamanya pada waktu puncak seperti musim perayaan.