Aktiviti pelancongan kalangan rakyat Malaysia dilihat terus rancak, apabila corak percutian pengguna negara kini dilihat lebih terancang berbanding tindakan spontan untuk tahun 2026.
Dapatan data tempahan awal yang dikongsikan AirAsia MOVE bagi tempoh perjalanan antara 1 Julai 2026 sehingga 31 Disember 2026 memperlihatkan rakyat negara kini lebih memberi tumpuan kepada destinasi yang menawarkan nilai yang lebih berbaloi, tempoh perjalanan yang lebih singkat serta pengalaman yang tidak membebankan kewangan.
Yang mana para pengguna kini lebih mengutamakan pembelian tiket penerbangan dengan 35% lebih tinggi berbanding berbelanja lebih pada penginapan hotel. Daripada memilih penginapan mewah, orang ramai kini lebih cenderung memilih hotel yang menawarkan keseimbangan dari segi keselesaan, kemudahan, dan harga yang berpatutan. Secara globalnya sekitar 76% tempahan yang direkodkan adalah bagi hotel bertaraf tiga dan empat bintang.

Menariknya, tinjauan turut dapati generasi Milenial kekal selaku kumpulan pelancong terbesar dalam platform dengan menyumbang 43% daripada tempahan diikuti Gen Z pula sebanyak 23%. Kedua generasi ini merangkumi hampir dua pertiga daripada tempahan di platform MOVE, sekali gus mengukuhkan peranan golongan muda dalam membentuk ekonomi pelancongan rantau ini.
Dengan rekod sedemikian, ini menjelaskan kebanyakkan pengguna kalangan kumpulan pekerja di negara – maka tidak hairanlah mengapa dapatan pintar tempahan MOVE turut mendedahkan bahawa hampir 40% tempahan tiket penerbangan dibuat bagi perjalanan antara 25 – 5 haribulan. Tempoh yang sejajar dengan kitaran pembayaran gaji di kebanyakan pasaran Asean.

Secara menyeluruh destinasi antarabangsa seperti Malaysia, Thailand, Indonesia, Jepun, dan Filipina dijangka kekal sebagai destinasi paling popular bagi pengguna MOVE sepanjang baki tahun ini. Ini mencerminkan permintaan berterusan terhadap perjalanan serantau yang didorong oleh ketersambungan laluan penerbangan yang mantap serta tawaran nilai yang kompetitif.