Artikel

47% Peruncit Malaysia Sedia Melabur AI – Namun Bimbang Risiko Keselamatan Data

Ternyata tahap penggunaan kecerdasan buatan (AI) kalangan rakyat Malaysia kini semakin meluas – apabila 74% memanfaatkannya pada tindakan membeli-belah. Tinjauan Adyen Index 2026 Malaysia Retail bersama sokongan YouGov ini memperlihatkan permintaan ini jelas menuntut penyertaan lebih ramai kumpulan peniaga pada sokongan AI.

Biarpun kebergantungan terhadap pembantu AI harian kian meningkat, jurang kepercayaan masih menjadi kekangan utama bagi fasa perdagangan seterusnya, iaitu perdagangan berasaskan ejen pintar. Majoriti rakyat Malaysia (52%) masih ragu-ragu dan kurang selesa menyerahkan keputusan serta transaksi pembelian sepenuhnya kepada AI tanpa kawalan manusia. Situasi ini menunjukkan bahawa pengguna tempatan masih menekankan aspek ketelusan dan keselamatan data, di mana sebarang ralat pembayaran boleh menjejaskan persepsi mereka terhadap sesebuah jenama secara drastik.

Bagi pihak peruncit pula, cabaran terbesar kini bukan sekadar mengintegrasikan AI dalam khidmat pelanggan atau pemasaran, tetapi memastikan infrastruktur pembayaran yang digunakan kekal selamat dan berdaya tahan. Menurut Pengurus Negara Adyen Malaysia, Soon Yean Lee, peralihan ke arah agentic commerce memerlukan ekosistem yang dipercayai, memandangkan 94% peruncit tempatan melaporkan pernah menjadi sasaran penipuan pembayaran sepanjang 12 bulan lalu. Pengalaman pembayaran yang gagal bukan sahaja berisiko membatalkan jualan, malah mendorong 15% pengguna beralih terus kepada pesaing lain.

Bergerak ke hadapan, sebanyak 47% peruncit di Malaysia merancang untuk melabur dalam penyelesaian perdagangan berasaskan AI menjelang tahun ini bagi mengimbangi automasi dan kawalan pengguna. Walau bagaimanapun, Isu integrasi teknikal yang rumit merentas pelbagai platform AI serta kebimbangan terhadap privasi data (39%) kekal menjadi cabaran kritikal yang perlu ditangani. Kejayaan era baharu peruncitan digital ini akhirnya bergantung kepada keupayaan industri mewujudkan lapisan keterbukaan yang saling boleh kendali, sekali gus membina keyakinan pengguna secara berterusan.