Shopee telah mengumumkan satu siri inisiatif baharu di bawah program Shopee Lindung Niaga sebagai langkah proaktif untuk menyokong perniagaan Malaysia di setiap peringkat pertumbuhan.
Penambahbaikan terkini ini direka khas untuk membantu lebih ramai usahawan membina tapak dalam ekosistem perniagaan atas talian. Bagi menggalakkan penglibatan usahawan baharu, Shopee memperkenalkan pengecualian Yuran Sokongan Platform selama 60 hari. Selain itu, had pesanan sebelum yuran komisen mula dikenakan juga telah ditingkatkan sekali ganda, iaitu daripada 100 kepada 200 pesanan. Langkah strategik ini memberi ruang yang lebih selesa kepada peniaga untuk menstabilkan aliran tunai dan membina pangkalan pelanggan pada peringkat awal perniagaan mereka tanpa dibebani yuran tambahan.
Bukan itu sahaja, Shopee turut menawarkan kadar komisen yang lebih rendah bagi lebih 60 kategori tambahan barangan keperluan harian terpilih. Inisiatif ini bukan sahaja membantu penjual mengurus kos operasi dengan lebih cekap, malah memastikan barangan harian kekal mampu dimiliki oleh para pembeli. Sokongan ini diperkukuhkan lagi dengan pemberian 50% tambahan Kredit Iklan Percuma menerusi Ads Startup Booster (ASB), serta pengecualian komisen bagi penjual baharu yang menyertai perkhidmatan logistik Fulfilled by Shopee (FBS) demi memacu kelancaran operasi perniagaan mereka.