Artikel

Binance Kekal Diharamkan Di Malaysia – Tidak Dilesen Bawah SC 

Biarpun Binance telah dikeluarkan daripada Senarai Amaran Pelabur oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) – platform bursa kriptowang tersebut kekal disekat daripada diakses oleh pengguna di Malaysia. 

Perihal itu bertujuan untuk terus memantau perkembangan dan sebarang tindakan wajar untuk mengelakkan berlaku sebarang pelanggaran undang-undang atau risiko baharu kepada pelabur tempatan. Makluman Kementerian Kewangan (MOF) pada sidang Parlimen ini menjelaskan keperluan itu penting untuk melindungi kepentingan pelabur negara.

Sebagai perincian lanjut, Binance pada masa ini tidak dilesenkan mahupun didaftarkan dengan SC di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 untuk membolehkan mereka menjalankan aktiviti pasaran modal di Malaysia.

Secara menyeluruh, SC kekal mengamalkan dasar terbuka untuk terus mengalakkan penyertaan semua pemain pasaran modal termasuklah pemain inovatif dalam pembangunan dan perkembangan ekosistem pasaran modal Malaysia. Namun setiap permohonan rasmi akan tertakluk kepada proses penilaian yang sewajarnya bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan kawal selia SC.