Uber Technologies Inc telah bersetuju untuk membeli Delivery Hero dalam satu perjanjian yang menilai syarikat penghantaran makanan Jerman itu pada US$14.8 bilion (RM65.6 bilion).
Berdasarkan makluman rasmi Delivery Hero, Uber menawarkan bayaran sebanyak €41.50 (sekitar US$45.20) sesaham secara tunai, dan akan mengambil alih sebahagian besar perniagaan global Delivery Hero yang merangkumi pasaran antarabangsa dengan pelbagai jenama terkenal seperti FoodPanda, Baemin, Talabat, dan HungerStation.
Langkah sebahagian daripada perjanjian tersebut turut memperlihatkan Uber membeli pegangan saham daripada pemegang saham utama Delivery Hero iaitu Prosus NV yang tersenarai di Amsterdam, yang telah bersetuju untuk menyerahkan keseluruhan pegangan saham mereka.
Bagi mengelakkan sekatan daripada pengawal selia persaingan, firma pelaburan SSW Partners pula akan mengambil alih perniagaan Delivery Hero di 14 pasaran yang bertindih dengan operasi Uber Eats dengan nilai sekitar US$1.6 bilion. Ini termasuklah unit perniagaan di pasaran seperti Sepanyol, Sweden, Poland, Portugal, dan Turki. SSW akan mengendalikan proses berasingan untuk mencari rakan kongsi strategik bagi aset-aset berkenaan.
Dengan kesepakatan itu, Delivery Hero melihat ia sebagai peluang yang baik buat kumpulan untuk memperkukuhkan segmen penghantaran makanan dan meluaskan empayar pengguna di pasaran global melalui strategi “Everyday App” mereka bersama platform mobiliti global milik Uber.
foodpanda Malaysia Jamin Operasi Tidak Terjejas
Rentetan daripada pengumuman global tersebut, foodpanda Malaysia telah mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjelaskan situasi operasi mereka di peringkat tempatan. Menurut syarikat itu, Delivery Hero telah memeterai perjanjian dengan Uber yang bakal menggabungkan platform teknologi global serta rangkaian mobiliti Uber bersama jenama penghantaran tempatan terkemuka.
Namun, foodpanda Malaysia menegaskan bahawa sehingga transaksi yang dirancang ini selesai sepenuhnya, mereka akan terus beroperasi seperti biasa di bawah jenama foodpanda dengan menggunakan teknologi, pasukan, dan operasi sedia ada. Pihak pengurusan turut memberi jaminan bahawa sebarang perubahan yang mungkin berlaku pada masa hadapan akan dimaklumkan kepada semua pihak yang terlibat terlebih awal.
