Artikel

Hutang BNPL Kini Cecah RM5.3 Bilion, 8 Juta Akaun Aktif Direkodkan Di Malaysia

Penggunaan Bayar Nanti Pakai Lekas (BNPL) di Malaysia terus menunjukkan lonjakan ketara apabila bilangan pemegang akaun aktif mencecah 8.0 juta bagi suku pertama tahun 2026. Pertumbuhan pesat ini menyaksikan jumlah baki hutang terkumpul pasaran kini mencecah RM5.3 bilion, dengan kadar tidak berbayar mencatatkan sebanyak RM181.0 juta atau 3.4% daripada jumlah keseluruhan.

Trend ini dipacu kuat oleh golongan muda berumur 30 tahun dan ke bawah yang merangkumi kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan pengguna, di mana kemudahan ini majoritinya digunakan secara meluas bagi perbelanjaa barangan harian bernilai kecil seperti makanan, barangan runcit, pengangkutan dan perkhidmatan dengan nilai purata transaksi di bawah RM100. Namun notis Kementerian Kewangan (MOF) pada sidang Parlimen ini menjelaskan, paras hutang tersebut masih di bawah kawalan pihak berkuasa iaitu 0.3% daripada keseluruhan hutang isi rumah pada akhir 2025.

Kawalan ini dijelaskan akan terus diperkasa dengan pengenaan peraturan yang lebih ketat pada penggunaan BNPL semasa. Seperti yang umum ketahui, kerajaan melalui Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) kini mewajibkan semua penyedia BNPL untuk mendapatkan lesen beroperasi yang sah. Yang mana setiap penyedia BNPL diwajibkan untuk memperketat kelayakan pembiayaan dengan melakukan penilaian keupayaan kredit dan kemampuan berhutang sebelum memberikan kelulusan kepada pengguna.

Pendekatan proaktif ini secaranya amnya melarang penyedia daripada menambah had kredit atau menawarkan pembiayaan baharu kepada pengguna yang dikenal pasti berisiko menghadapi kesukaran memenuhi obligasi pembayaran balik mereka. Langkah seimbang ini amat kritikal bagi memastikan pengguna, khususnya golongan muda, mampu membuat keputusan kewangan yang bijak tanpa menjejaskan akses pembiayaan yang cekap dan adil dalam pasaran ekonomi digital.