Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) disahkan menjadi mangsa penipuan terancang dan manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan eFishery, membabitkan dana pelaburan langsung bernilai $47.7 juta iaitu hampir RM200 juta.
Pada notis Parlimen, Perdana Menteri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan (MOF) memperincikan dana persaraan penjawat awam itu telah terjejas akibat salah laku pengurusan startup agroteknik Indonesia berkenaan, walaupun keputusan pelaburan pada awalnya dibuat berpandukan maklumat tersedia yang merangkumi pengesahan penyata kewangan daripada juruaudit antarabangsa bertauliah.
KWAP sebenarnya mempunyai rangka kerja tadbir urus pelaburan yang kukuh dan telus, di mana setiap kemasukan ke dalam pasaran swasta wajib melalui proses penilaian, kelulusan, serta pemantauan menyeluruh. Sebelum dana diluluskan, konsortium pelabur termasuk KWAP telah melaksanakan usaha wajar bebas yang meneliti segenap aspek kewangan, perundangan, dan operasi bagi memastikan semua maklumat adalah lengkap dan sahih.
Tidak hanya KWAP, skandal penipuan kewangan eFishery ini turut memberi kesan kepada institusi pelaburan global termasuklah Temasek, SoftBank, 42XFund dan Northstar. Kesemua entiti gergasi global ini juga memiliki sistem penilaian, kawalan, dan tadbir urus pelaburan bertaraf dunia, namun manipulasi akaun yang direncanakan oleh pihak pengurusan eFishery telah berjaya mengaburi proses tapisan ketat bertaraf antarabangsa tersebut.
Susulan isu ini ini, konsortium pelabur termasuk KWAP telah mengambil langkah tegas membuat laporan kepada pihak berkuasa serta mengambil tindakan undang-undang sewajarnya demi meneruskan usaha pemulihan dana. Di peringkat dalaman, KWAP telah membentangkan hasil semakan menyeluruh tatakelola kepada Lembaga KWAP untuk tindakan susulan berteraskan prinsip akauntabiliti, selain komited melaksanakan penambahbaikan bagi memperkukuh perlindungan terhadap kepentingan pelaburan institusi pada masa hadapan.