Artikel

Dr Mohd Uzir, Ketua Perangkawan Negara Bersara Wajib – Selepas 36 Tahun Berkhidmat

Setelah berkhidmat 36 tahun pada perkhidmatan awam, Ketua Perangkawan (DOSM) Datuk Seri Dr Mohd Uzir hari ini secara rasminya bersara wajib. Dikenali sebagai figura penting yang menerajui landskap data statistik Malaysia, persaraan beliau menandakan berakhirnya satu era kecemerlangan yang sarat dengan pelbagai pencapaian berimpak tinggi di peringkat domestik mahupun global.

Antara kejayaan paling ikonik di bawah pimpinan beliau adalah apabila berjaya meletakkan Malaysia pada kedudukan pertama dunia dalam penarafan Open Data Inventory (ODIN) 2024/2025 dengan perolehan skor menyeluruh 90 dan skor keterbukaan 99 – sekali gus menyaksikan Malaysia berjaya mengatasi 197 buah negara lain di seluruh dunia dalam aspek ketelusan data.

Di peringkat domestik pula, Dr. Mohd Uzir merupakan penggerak utama di sebalik pengenalan pelbagai inisiatif penting negara seperti Pangkalan Data Utama (PADU), MyLaborHub, dan TaniStats. Selain itu, beliau turut mengemudi penerbitan data kritikal melibatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta pelbagai laporan statistik komprehensif yang menjadi rujukan utama bagi merangka dasar kebajikan rakyat Malaysia.

Ketokohan beliau dalam bidang data turut diiktiraf di pentas antarabangsa apabila dilantik mewakili negara di Suruhanjaya Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 2017. Malah, portfolio global beliau diperkukuhkan lagi apabila diberi kepercayaan untuk mempengerusikan Kongres Statistik Dunia Institut Statistik Antarabangsa (ISI) pada tahun 2019.