Artikel

UEM Edgenta Akan Dinyahsenarai – Setelah 62 Tahun Jadi Syarikat Tersenarai Di Bursa Malaysia

Setelah 62 tahun disenaraikan pada Bursa Malaysia, UEM Edgenta Bhd dimaklumkan akan dinyahsenaraikan pada platform tersebut pada 10 Julai ini susulan tindakan proses penswastaan syarikat induknya UEM Group.

Mengikut makluman kepada Bursa Malaysia, saham UEM Edgenta akan dikeluarkan daripada Senarai Rasmi Bursa Malaysia berkuat kuasa pada jam 9 pagi Jumaat ini.

Langkah penswastaan ini akan memperlihatkan peralihan keseluruhan pegangan kepada UEM Group, yang mana sekitar RM282 juta pembayaran kepada pelabur awam dilaksanakan untuk merealisasikan penswastaan tersebut. Buat pengetahuan umum, sebelum ini UEM Group memiliki kepentingan 69.14% dalam UEM Edgenta.

Sebagai perincian UEM Edgenta sebelum ini berdepan cabaran prestasi disebabkan krisis COVID-19, yang mana tugas-tugas infrastruktur berdepan penangguhan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Situasi ini sekali gus menjejaskan aliran untung bersih kumpulan dengan tahun 2020 merekodkan kejatuhan 92.9% kepada RM12.9 juta berbanding RM181.8 juta pada tahun 2019.

Maka dengan peswastaan, langkah ini akan membantu menambahbaik prestasi kewangan selain membentuk semula hala tuju strategik UEM Edgenta di pasaran hadapan.


Sebagai penjelasan, walaupun nama UEM Edgenta hanya mula digunakan pada tahun 2015, entiti korporatnya telah bertapak di bursa tempatan sejak 2 Januari 1964 lagi – iaitu bermula sebagai entiti Merlin Hotels Malaysia Limited sebelum dikenali sebagai Faber Group Bhd dan pada 14 April 2015 telah alami perubahan entiti kepada UEM Edgenta.