Artikel

Fasa Rintis MediAsas, Pelan Perlindungan Perubatan Serendah RM60 – Akan Dimulakan Julai Ini

Untuk memastikan semua rakyat Malaysia meraih akses pelan perlindungan perubatan mampu milik di pasaran semasa – disasarkan bermula akhir Julai 2026 ini, kerajaan akan melaksanakan program rintis MediAsas iaitu pelan perlindungan insurans perubatan, takaful kepada rakyat Malaysia. 

Berdasarkan kenyataan Kementerian Kewangan (MOF), fasa rintis tersebut akan berlangsung pada akhir Julai kelak di Lembah Klang sehingga Oktober 2026. Pada peringkat ujian ini, sekitar 6 syarikat insurans dan pengendali takaful bersama beberapa hospital swasta akan sertai menjayakan fasa rintis tersebut. Setelah memahami tahap kecekapan, kapasiti perlindungan MOF menjangkakan pelan perlindungan mampu milik ini akan direalisasikan sepenuhnya pada peringkat kebangsaan pada Januari 2027.

Buat pengetahuan umum, MediAsas akan menawarkan dua pilihan produk iaitu MediAsas Teras sebagai pelan standard dan MediAsas Fleksi sebagai pelan yang lebih menyeluruh. Ketika ini kadar harga perlindungan dilaraskan serendah RM60 sehingga RM550, namun ia masih diperingkat penelitian sebelum dimuktamadkan pada Januari 2027. Menariknya pelan perubatan ini memberi perlindungan kepada individu sehingga usia 85 tahun.

Untuk kerjasama awal, 6 syarikat insurans yang mengambil bahagian adalah AIA Bhd, Allianz Life Insurance Malaysia, Great Eastern Life Assurance, Prudential BSN Takaful, Etiqa Family Takaful, dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga.

Apa itu MediAsas? Ia adalah jenama bagi Pelan Asas MHIT. Inisiatif utama ini direka khusus bagi menyediakan akses kepada perlindungan perubatan yang lebih mampu milik dan mampan untuk jangka masa panjang bagi rakyat Malaysia. Program rintis MediAsas yang bakal bermula pada akhir Julai ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam menyediakan asas bagi pelaksanaan di peringkat nasional pada Januari 2027. MediAsas dijangka memainkan peranan penting dalam mencorakkan semula landskap pembiayaan penjagaan kesihatan swasta serta menyokong transformasi kesihatan jangka panjang secara menyeluruh.