Artikel

Pengembangan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang Patuhi Jadual – Sasar Siap Pada 2028

Projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) kini dimaklumkan sedang berjalan lancar mengikut jadual, dengan beberapa bahagian kerja utama mencatatkan kemajuan yang menggalakkan. Secara keseluruhan, projek ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2028.

Fasa satu secara menyeluruh telahpun mencapai 100% kemajuan melibatkan pembinaan bangunan sokongan, pengalihan utiliti, kerja infrastruktur, Menara Maya Digital Jauh (RDVT) bersama perolehan sijil Perakuan dan Pematuhan (CCC) bagi projek tersebut. Sementara fasa kedua pula telah mencapai tahap kemajuan 70% melibatkan pembesaran apron, laluan teksi, sistem perparitan dan lampu lapangan terbang.

Manakala fasa ketiga yang baru sahaja bermula Jun lalu akan tertumpu kepada pembesaran bangunan terminal utama LTAPP. Dengan usaha strategik itu dijangka kapasiti penumpang secara tahunan dapat diperluaskan daripada 6.5 juta individu kepada 12 juta individu.

Peningkatan kapasiti ini amat penting untuk menampung pertumbuhan trafik penumpang, memperkukuh ketersambungan udara domestik serta antarabangsa, dan menyokong pembangunan ekonomi negeri dalam sektor pelancongan, perdagangan, pelaburan, dan logistik.