Artikel

Malaysia Kekal Status Pendapatan Pertengahan Atas, Sejak 1992 – Bank Dunia

Malaysia dilihat terus berada pada kategori pendapatan pertengahan atas pada pemantauan status pendapatan di bawah Bank Dunia. Biarpun kedudukan ini memperlihatkan pengukuhan secara berkala, status tersebut telahpun diraih sejak tahun 1992. Ini bermakna lebih 30 tahun, Malaysia masih kekal di status pendapatan pertengahan atas kalangan senarai 218 buah negara global.

Tatkala negara masih terperangkap pada status tersebut, senarai tersebut memperlihatkan perkembangan status pendapatan kalangan beberapa negara Asia yang lain. Antaranya memperlihatkan penyertaan Vietnam, Filipina dan Sri Lanka pada senarai status pendapatan pertengahan atas. Kemasukan ketiga negara ini bersama Jordan dan Micronesia, menjadikan jumlah negara berstatus pendapatan sedemikian adalah 59 buah negara.

Sebagai perincian, perkembangan Vietnam dan Filipina dipacu pertumbuhan eksport yang positif dengan perkembangan pendapatan kedua negara antara 8% hingga 10% setiap tahun. Menjadikan mereka salah satu momentum pertumbuhan kukuh pada rantau ini.

Melihat persaingan tersebut, Malaysia dilihat memiliki potensi menambahbaik status tersebut sejajar dengan usaha semasa yang kini tertumpu pada industri bernilai tinggi, pemerkasaan teknologi digital, penstrukturan semula gaji domestik dan pengukuhan dasar kewangan semasa.