Artikel

Rakyat Malaysia Bazir Sehingga 97kg Makanan Setahun – Umpama Sepinggan Nasi Penuh Setiap Hari

Tabiat membazir kalangan isi rumah di Malaysia dilihat masih lagi kritikal, apabila tahun 2025 dianggarkan sekitar 31.9 kilogram sehingga 97.3 kilogram pembaziran makanan per kapita setahun direkodkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Data ini menjelaskan setiap individu yang membazir makanan 97.3kg pada setiap tahun adalah seakan membazir sepinggan nasi penuh atau 3 keping roti canai pada setiap hari.

Tinjauan turut dapati pembaziran makanan adalah lebih ketara bagi makanan diproses atau dimasak berbanding makanan mentah. Sebanyak 94.1% isi rumah dilaporkan membuang makanan diproses atau dimasak berbanding 88.7% bagi makanan mentah. Dapatan ini menunjukkan bahawa sebahagian besar pembaziran makanan berlaku selepas makanan disediakan, sekali gus menekankan kepentingan amalan isi rumah yang lebih baik dalam aspek perancangan hidangan, penyediaan makanan dan pengurusan lebihan makanan.

Mengikut taburan jenis makanan, didapati sayur-sayuran (29.1%) merupakan kategori makanan mentah yang paling banyak dibazirkan, diikuti buah-buahan (22.4%), ikan atau makanan laut (15%). Sementara makanan diproses atau dimasak pula memperlihatkan nasi (16.7%) mencatatkan kadar pembaziran tertinggi diikuti lauk sayur (15.8%), makanan yang dibeli dari luar (13.8%). Corak ini menunjukkan bahawa pembaziran makanan banyak melibatkan makanan segar yang mudah rosak serta makanan ruji yang lazim disediakan dalam kuantiti yang banyak.

Selain itu, makanan tamat tempoh (19.3%) turut menyumbangkan kepada punca utama tindakan pembaziran makanan isi rumah Malaysia. Faktor lain yang menyumbang kepada pembaziran termasuk penyimpanan lebihan makanan di dalam peti sejuk atau peti sejuk beku terlalu lama (18.1%), pembelian secara berlebihan (15.2%) dan memasak dalam kuantiti yang berlebihan (15.1%). Dapatan ini menunjukkan bahawa pembaziran makanan sebahagian besarnya dipengaruhi oleh amalan pengurusan makanan di peringkat isi rumah, khususnya dalam aspek perancangan pembelian, penyimpanan makanan dan kawalan kuantiti penyediaan makanan.

Secara menyeluruh biarpun tabiat membazir ini semakin meningkat, skala ini masih sejajar dengan peringkat global – yang menetapkan paras global sebanyak 79kg pembaziran makanan dicatatkan per kapita setahun.