Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) memperlihatkan lebih separuh daripada orang dewasa di Malaysia kini mempunyai berat badan berlebihan, dengan pengambilan minuman manis menjadi sebahagian besar daripada diet rakyat Malaysia – keadaan ini sekali gus menuntut keperluan galakan pengambilan air kosong di pasaran makanan minuman semasa.
Persekitaran ini menurut pengamatan firma penyelidikan Galen Centre for Health and Social Policy – adalah wajar untuk peniaga menyediakan air kosong percuma kepada pelanggan premis makanan, minuman mereka. Pengenaan caj air kosong dilihat boleh mempengaruhi tanggapan pelanggan dengan memilih pembelian air minuman berperisa serta pilihan air berkalori tinggi.
Ketiadaan caj air ini tidak sekadar memberi penjimatan tetapi turut menjadi langkah kesihatan yang berkesan mengurangkan kadar pengambilan gula kalangan rakyat Malaysia dan membantu tangani penyakit tidak berjangkit (NCD). Setakat didapati sejumlah 2.3 juta penduduk dewasa direkodkan alami NCD.
Usaha ini juga turut mengurangkan tekanan risiko kepada majikan, syarikat insurans, sistem kesihatan awam susulan kenaikan kos penjagaan kesihatan pada pasaran semasa. Tahun 2021 sahaja memperlihatkan bebanan kos NCD sekitar RM64.2 bilion, yang mana mewakili 4.2% daripada KDNK Malaysia. Dan data ini dijangka akan terus meningkat sekiranya Malaysia tidak membendung tabiat pengambilan gula yang berlebihan.
Untuk itu, firma menggesa Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan untuk memasukkan cukai eksais bagi susu pekat manis dan krimer manis ke dalam Belanjawan 2027. Langkah ini harus dilaksanakan bersama-sama dengan pelabelan pemakanan yang lebih ketat, pendidikan awam, serta sokongan sasaran untuk isi rumah berpendapatan rendah.