Dewan Rakyat pada hari Selasa telah meluluskan pindaan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025, yang memperkenalkan semakan semula struktur penalti progresif (denda berperingkat) ke atas majikan yang gagal melaporkan kekosongan jawatan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Pindaan tersebut diluluskan dengan undian suara majoriti selepas dibahaskan oleh 15 ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang. Pindaan ini untuk makluman memperincikan pengenaan denda sehingga RM1,000 untuk kesalahan pertama, RM3,000 untuk kesalahan kedua dan sehingga RM5,000 untuk kesalahan ketiga atau berikutnya.
RUU itu diperkenalkan selepas wujud kebimbangan bahawa penalti asal RM10,000 terlalu berat, terutamanya bagi kesalahan pentadbiran kali pertama serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Dengan pelarasan itu, ia sekali gus meningkatkan lagi tahap pematuhan kalangan kumpulan majikan pada makluman kekosongan di pasaran pekerjaan semasa.
Pindaan tersebut untuk makluman telah mengambil kira maklum balas daripada majikan yang dikumpul melalui sesi libat urus dan advokasi yang dijalankan oleh Perkeso bersama pelbagai sektor di seluruh negara. Hasil daripada maklum balas berkenaan, denda maksimum telah dikurangkan kepada RM5,000 daripada cadangan asal sebanyak RM10,000, manakala penalti untuk kesalahan pertama diselaraskan kepada RM1,000.