Artikel

BNM: Bank Dan Dompet Digital Perlu Papar DuitNow QR, Tiada Lagi QR Eksklusif Menjelang Jun 2028

Bank Negara Malaysia (BNM) telah memuktamadkan dokumen dasar Rangka Kerja Pemindahan Dana Saling Kendali (IFTF) yang bertujuan untuk menyelaraskan sistem pembayaran digital di Malaysia melalui satu rangkaian tunggal.

Ini bermakna, di bawah dasar baharu ini – institusi kewangan, bank, penyedia dompet digital diwajibkan untuk memansuhkan semua rangkaian kod QR persendirian mereka menjelang 30 Jun 2028. Langkah strategik ini diambil bagi mengelakkan fragmentasi atau perpecahan pasaran, sekali gus memastikan ekosistem pembayaran runcit di Malaysia menjadi lebih bersepadu dan cekap untuk kegunaan awam.

Seperti yang umum ketahui, terdapat isu berbangkit yang mana sebilang penyedia premis menampilkan kod QR persendirian yang hanya membolehkan pengguna membayar pada platform tersebut sahaja. Berbanding kod QR yang boleh digunapakai oleh pelbagai penyedia pembayaran. Keadaaan ini sekali gus menyebabkan kesulitan pada aliran pembayaran dan menjejaskan pengalaman berbelanja pengguna.

Maka sepanjang tempoh peralihan selama dua tahun ini, bank-bank dan penerbit e-wang yang terpilih dilarang sama sekali daripada mendaftarkan peniaga baharu ke dalam rangkaian QR proprietary sedia ada mereka. Sebaliknya, semua transaksi pembayaran runcit domestik berasaskan QR mesti disalurkan melalui infrastruktur pembayaran kongsi nasional, iaitu Platform Pembayaran Runcit Masa Nyata (RPP) yang mengendalikan perkhidmatan seperti DuitNow QR.

Arahan ini memastikan bahawa mana-mana bank atau pengambil alih peniaga (merchant acquirer) saling terhubung dan membenarkan transaksi rentas aplikasi berlaku tanpa sekatan.

Dan melibatkan isu kos peralihan, BNM telah memberikan penjelasan yang kukuh. Melalui rundingan bersama pengendali infrastruktur kongsi (PayNet), peserta industri dijamin tetap mempunyai fleksibiliti penuh untuk merangka program kesetiaan, ganjaran, dan perkhidmatan nilai tambah tersendiri di dalam aplikasi masing-masing. Selain daripada memantapkan pasaran domestik, penguatkuasaan dasar ini juga bakal menyokong usaha penyelarasan pemindahan dana dan transaksi pembelian rentas sempadan pada masa hadapan menerusi pelaksanaan sistem Nexus.

Secara menyeluruh, langkah menyeragamkan ini akan meletakkan DuitNow QR sebagai standard tunggal mutlak yang menghubungkan akaun bank dan akaun wang elektronik di Malaysia. Bagi pengguna, inisiatif ini menawarkan pengalaman pembayaran yang lancar kerana satu kod QR di kaunter kini boleh diimbas menggunakan mana-mana aplikasi kewangan pilihan mereka. Bagi peniaga pula, kos operasi dapat dikurangkan dan pengurusan jualan menjadi lebih mudah kerana mereka tidak perlu lagi memaparkan pelbagai standee kod QR yang berbeza hanya untuk menerima bayaran daripada penyedia e-dompet yang pelbagai.

Namun pelaksanaan ini kekal berkecuali ke atas kumpulan tertentu dan tidak diwajibkan seperti:

  • Penyedia Dompet Digital Skala Kecil (Standard EMI)
  • Aplikasi berasaskan Mata Ganjaran Premis
  • Bank Korporat dan Bank Pelaburan
  • Kaedah Pembayaran Alternatif – Apple Pay, Samsung Pay dan Kod Bar