Artikel

Rakyat Malaysia Dilihat Semakin Minat Melancong Demi Temasya Sukan, Konsert Global – VISA

Biarpun persekitaran global memperlihatkan tekanan kos dan ketidaktentuan bekalan tenaga, namun kedudukan ini ternyata tidak mengurangkan aktiviti pelancongan kalangan pengguna Malaysia – apabila kekal merancang untuk melancong walaupun pada lokasi yang tidak jauh.

Jelas tinjauan VISA Malaysia ini, rakyat negara kini dilihat lebih cenderung melancong di rantau ini, dengan hampir lapan daripada sepuluh responden (78%) memilih Asia Pasifik sebagai rantau utama untuk dikunjungi. Jepun mendahului sebagai destinasi pilihan utama, diikuti oleh Thailand, Indonesia, China, dan Singapura.

Berlandaskan keutamaan melancong, tujuan bersantai kekal sebagai dorongan utama (48%), di samping meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan (40%) dan meneroka pengalaman baharu (31%). Kemampuan (36%) dan keselamatan (31%) pula memainkan peranan yang semakin penting untuk membentuk pilihan destinasi. Ini mencerminkan trend yang lebih luas, di mana pelancong kini mengimbangkan keselesaan dengan penerokaan, mengutamakan pengalaman yang bermakna dan terurus. 

Pelancongan berasaskan minat juga semakin mendapat perhatian, dengan rakyat Malaysia menunjukkan minat untuk menghadiri acara global dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang, seperti menyaksikan temasya sukan antarabangsa secara langsung, konsert dan pesta seperti Piala Dunia FIFA 2026, Formula 1 dan konsert K-Pop — dan sekali gus memperlihatkan pengalaman kini semakin menjadi faktor yang menyokong keputusan pelancongan. 

Selain potensi dan perkembangan itu, teknologi kecerdasan buatan (AI) pula kini ditinjau muncul sebagai sebahagian daripada pilihan pengguna untuk menentukan keputusan perjalanan di peringkat awal. Dalam kalangan pengguna tempatan yang menggunakan AI untuk merancang, 58% memanfaatkannya untuk mencari destinasi baharu, manakala 54% bergantung padanya untuk menyediakan jadual perjalanan. Pelancong juga menggunakan AI untuk membaca ulasan dan cadangan, dan juga membandingkan harga, menunjukkan bahawa alat digital ini bukan sahaja mengoptimumkan perjalanan — tetapi juga merupakan pengaruh yang semakin besar untuk menentukan destinasi pelancong, membantu mereka merancang dengan tahap ketelusan dan keyakinan lebih tinggi. 

Sementara dalam aspek pembayaran pula, walaupun aliran transaksi digital semakin meluas dan digunapakai di kebanyakan pasaran global – masih terdapat sebilangan pelancong Malaysia kekal bimbang akan akses ini ketika melancong di luar negara. Antaranya merangkumi kos pertukaran mata wang asing, tahap penerimaan kad di sesebuah destinasi dan kos pengeluaran wang menerusi ATM. Secara menyeluruh, kebanyakkan pelancong negara lebih selesa menggunakan kad  kredit (32%), diikuti dompet digital (31%), kad debit (16%) dan lain-lain pembayaran (21%).