Artikel

Sistem Telematik Dipertimbang Jadi Syarat Wajib Kenderaan Perdagangan – Menjelang 2028

Sebagai langkah menambahbaik tahap keselamatan jalan raya di Malaysia – inisiatif sistem telematik ke atas kenderaan perdagangan dimaklumkan akan dilaksana secara berperingkat bermula tahun ini sehingga 2028. 

Buat pengetahuan umum, sistem ini merujuk kepada integrasi telekomunikasi dan maklumat, yang digunakan terutamanya dalam sektor pengangkutan untuk memantau pergerakan kenderaan, tingkah laku pemanduan dan diagnostik kenderaan. Merangkumi lokasi GPS, tahap kelajuan, pembrekan atau pecutan kasar, prestasi enjin serta corak pergerakan kenderaan termasuklah rekod sebarang isu pelanggaran mahupun tindakan berhenti mengejut.

Menariknya, inisiatif sistem ini jelas Kementerian Pengangkutan (MOT) berupaya menghentikan kenderaan perdagangan daripada dihidupkan sekiranya pemandu dikesan berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah. Namun pengesanan itu memerlukan integrasi peranti telematik bersama teknologi sokongan seperti kamera pintar sekuriti wajah atau peranti tiup penapis alkohol yang bertindak menyekat sistem penghidup enjin secara masa nyata demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Jelas laporan Bernama, untuk fasa pertama peringkat ini melibatkan tindakan advokasi kepada industri dan dilaksanakan secara sukarela sehingga 2027. Setelah itu fasa berikutnya akan diperluaskan kepada pembangunan Sistem Pangkalan Data Pemandu Kenderaan Perdagangan dan integrasi data telematik ini secara berpusat mulai 2027.

Sementara fasa 3 yang dicadangkan dapat dimulakan pada 2028 ini akan menjadi suatu fasa yang penting – iaitu mempertimbangkan penggunaan sistem telematik sebagai antara syarat wajib pelesenan bagi kenderaan perdagangan. Penelitian ini bagaimanapun kekal tertakluk kepada ketersediaan industri serta pembangunan sistem kerajaan yang berkaitan pada tempoh tersebut.

Secara menyeluruh setakat ini usaha sedemikian masih diperingkat awal dan belum diwajibkan namun dengan bermulanya galakan pelaksanaan inisiatif ini, ia secara langsung membantu pihak berkuasa meningkatkan tahap pemantauan ke atas pemandu serta tahap keselamatan pengguna jalan raya yang lain di pasaran hadapan.