Kini waris boleh menyemak sama ada ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia memiliki perlindungan insurans hayat atau takaful keluarga menerusi portal Semak Kasih.
Portal yang baharu dilancarkan ini merupakan inisiatif bersama Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM). Ia bertujuan membantu menghubungkan semula waris dengan manfaat perlindungan yang mungkin belum dituntut.
Melalui portal ini, sistem akan menjana laporan yang mengenal pasti syarikat insurans atau pengendali takaful yang mempunyai rekod sepadan, berserta maklumat hubungan berkaitan. Waris kemudiannya boleh menghubungi syarikat berkenaan secara terus untuk urusan tuntutan selanjutnya.
Menariknya, perkhidmatan portal ini disediakan secara percuma bagi memastikan proses semakan hak kewangan pengguna berjalan lancar. Setakat ini, pangkalan data Semak Kasih mengandungi sekitar 37 juta rekod polisi, membolehkan hasil carian diperoleh hampir serta-merta tanpa perlu menunggu tempoh hari atau minggu.