Artikel

LRT Pulau Pinang Dijangka Siap Disember 2031

Bertepatan dengan agenda Malaysia untuk mengalakkan 40% penduduk negara memanfaatkan sistem pengangkutan awam – kelak projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Pulau Pinang dijangka siap, dan mula operasi pada Disember 2031. 

Projek melibatkan jajaran 29.67 kilometer ini untuk makluman kini sedang dibangunkan oleh Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp). Setakat ini tahap kemajuan pembangunan baru mencapai 8.99% dan penjadualannya dilihat sejajar dengan rancangan yang ditetapkan.

Dengan jangkaan penyelesaian khidmat pengangkutan ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) pada notis Parlimen optimis ia berupaya memberi manfaat kepada lebih 1.8 juta penduduk di Pulau Pinang, serta komuniti di Seberang Perai, Kedah dan utara Perak. Disusuli manfaat kepada 3.5 juta pelancong ke Pulau Pinang pada setiap tahun.

Secara menyeluruh, jajaran ini akan menghubungkan kawasan utama merangkumi Komtar, Bayan Lepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Terminal Bas Sungai Nibong dan Penang Sentral, Seberang Perai.