Artikel

TNG eWallet Kini Sedia Pembiayaan ASB – Akses Pembiayaan Islamik Pertama Bersama CIMB

Dengan kerjasama CIMB Bank – Touch ‘n Go Digital (TNG Digital) hari ini melancarkan Pembiayaan ASB kepada para pengguna menerusi akses TNG eWallet. Kerjasama strategik ini sekali gus menjadikan ia tawaran pembiayaan Islamik pertama kumpulan bersama pengguna.

Penambahan tawaran ini didasari akan realiti masih ramai pengguna berdepan cabaran praktikal untuk menyertai ekosistem pelaburan jangka panjang. Ini termasuk komitmen kewangan pendahuluan, proses permohonan yang terpisah-pisah, serta keperluan dokumentasi yang rumit. Cabaran-cabaran ini boleh menyukarkan pelabur, terutamanya pelabur muda dan baharu, untuk mula membina kekayaan jangka panjang dari peringkat awal.

Buat pengetahuan umum, setakat ini pengguna Bumiputera membentuk 70% daripada asas pelabur Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dalam TNG eWallet dan menyumbang 52% daripada jumlah nilai pelaburan di platform tersebut. Ini menandakan permintaan yang kukuh untuk penyelesaian pelaburan dan pembinaan kekayaan yang mudah diakses dalam segmen ini.

Maka dengan penambahan ciri ini, pengguna boleh mengembangkan kekayaan mereka melalui agihan dividen tahunan ASB sambil memupuk tabiat menyimpan jangka panjang yang lebih berdisiplin. Dengan jumlah pembiayaan bermula dari RM10,000 sehingga RM200,000 dan tempoh pembiayaan yang fleksibel antara 5 hingga 40 tahun, pengguna boleh memilih pelan yang paling sesuai dengan matlamat dan kapasiti kewangan mereka.

Bagi pengguna yang berminat, Pembiayaan ASB adalah digital sepenuhnya di dalam TNG eWallet, membolehkan pengguna memohon, menjejak status permohonan, dan memantau pelaburan mereka di satu tempat, tanpa perlu mengunjungi cawangan atau melakukan urusan dokumentasi secara manual.