Kerajaan kini dilihat sedang mempergiat usaha meneliti kaedah pengelasan sosioekonomi baharu bagi menggantikan status kumpulan B40, M40, dan T20 sedia ada selari dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi tempoh 2026 sehingga 2030. Langkah ini diambil bagi memastikan sistem penyampaian bantuan sosial Malaysia lebih inklusif dan saksama. Buat masa ini, had kelayakan bantuan masih mengekalkan rujukan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional 2024 sedia ada, iaitu RM2,705 sebulan.
Semakan itu menurut notis lisan Parlimen menjelaskan kerajaan sedang mengkaji pendekatan yang lebih dinamik melalui penggunaan Pendapatan Boleh Guna Bersih (NDI). Melalui kaedah NDI, penilaian akan dibuat setelah mengambil kira pendapatan setelah ditolak potongan berkanun seperti KWSP, PERKESO, cukai, dan zakat, serta diukur bersama kos Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) setempat.
Namun komitmen ini menuntut penelitian lanjut serta ketersediaan data isi rumah yang menyeluruh dan lengkap sepanjang tempoh RMK13. Semakan ini amat kritikal bagi memastikan keberkesanan serta ketepatan sasaran bantuan apabila ia dikuatkuasakan kelak. Untuk masa ini, data PAKW sedia ada terus berfungsi sebagai panduan literasi kewangan bagi membantu rakyat merancang perbelanjaan keluarga mengikut realiti kos sara hidup masing-masing.