Cadangan pertukaran kategori taman permainan komersial kanak-kanak di Selangor ke bawah kategori Lesen Hiburan, dilihat bakal menyaksikan berlakunya lonjakan yuran tahunan operasi sehingga hampir 13 kali ganda.
Memahami implikasi itu, Persatuan Taman Tema dan Tarikan Keluarga Malaysia (MATFA) kini menggesa kerajaan negeri Selangor untuk mengkaji semula cadangan perubahan kategori berkenaan. Lonjakan yuran tahunan ini berupaya memperlihatkan peningkatan caj daripada RM500 kepada RM6,390.
Kedudukan ini sekali gus memberi kesan kepada pelarasan harga kemasukan pada taman permainan kelak. Seharusnya taman permainan kanak-kanak menjadi ruang komuniti sosial yang mampu-milik bagi membolehkan keluarga menjalankan aktiviti bermain tanpa tekanan kos yang tinggi. Namun dengan perubahan dasar ini, situasi sebaliknya dijangka berlaku dan bakal membebankan keluarga dalam kalangan B40 serta M40.