Artikel

45% Pencipta Kandungan Malaysia Didapati Tidak Sedar – Produk Percuma Dikira Pendapatan Bercukai

Mendekati beberapa minggu lagi sebelum berakhirnya tempoh pemfailan cukai, didapati 45% pencipta kandungan Malaysia tidak mengetahui atau tidak pasti bahawa pemberian produk percuma, tajaan penginapan hotel serta baucar yang diterima sebagai pertukaran untuk menghasilkan kandungan merupakan pendapatan bercukai. 

Tinjauan di bawah laporan MYCreator Pulse 2026 yang melibatkan penyertaan 489 pencipta kandungan selaku responden ini mendedahkan masih ramai pihak kurang peka akan perundangan percukaian negara. Yang mana selain perolehan bayaran, 70% pencipta kandungan direkodkan menerima produk percuma atau hadiah sebagai bentuk bayaran dan pemberian produk pula didapati menyumbang 46% daripada sumber pendapatan kumpulan ini.

Data ini sekali gus memperlihatkan perolehan itu lebih tinggi berbanding pembayaran tunai secara langsung (43%). Dan hanya sebilangan kecil merekodkan secara rasmi nilai barangan yang diterima.

Jurang kesedaran ini paling ketara berlaku kalangan pencipta kandungan berskala kecil, iaitu mereka yang miliki kurang daripada 1,000 pengikut dengan 1 daripada 4 tidak mengetahui manfaat bukan tunai tertakluk kepada cukai. Keadaan ini berbeza dengan kumpulan pencipta kandungan yang miliki lebih 100,000 pengikut apabila 91% daripadanya mengakui sedar akan kewajipan perkara tersebut sepenuhnya.

Selain bertindak telus, amalan pemfailan cukai memperlihatkan hanya 34% pencipta kandungan pernah memfailkan cukai pendapatan sebagai pencipta kandungan. Dalam kalangan mereka yang belum memfailkan cukai, 26% percaya pendapatan mereka berada di bawah tahap dikenakan cukai, 17% bercadang untuk memfailkan buat kali pertama pada tahun ini, manakala 14% tidak menyedari bahawa pencipta kandungan turut diwajibkan membuat pemfailan cukai.

Sementara dalam kalangan mereka yang pernah memfailkan cukai pula, 46% menyifatkan proses tersebut sebagai mengelirukan khususnya dalam menentukan nilai pendapatan bukan tunai serta mengenalpasti potongan yang dibenarkan. Selain itu, ketiadaan sistem perniagaan yang teratur turut meluaskan lagi jurang pemfailan cukai kalangan pencipta kandungan, antaranya 29% pencipta kandungan tidak mempunyai sebarang sistem perniagaan formal, manakala 68% belum mendaftar sebarang entiti perniagaan. Kebanyakan mereka masih merekodkan pendapatan secara tidak formal menggunakan catatan manual, penyata bank atau bergantung kepada ingatan.