Bertepatan dengan komitmen negara untuk memacu penyertaan Bumiputera pada arena pasaran modal – kini disasarkan 20 syarikat Bumiputera disenaraikan di Bursa Malaysia melalui tawaran awam permulaan (IPO) menjelang 2030.
Sasaran ini menurut Kementerian Ekonomi bukan sekadar bertujuan memperluas penguasaan ekonomi Bumiputera malah mahu meningkatkan kemasukan pelaburan serta daya saing firm tempatan dalam sektor bernilai tinggi. Berdasarkan perancangan itu, penelitian dan saringan akan tertumpu kepada syarikat Bumiputera yang terlibat dalam bidang pertumbuhan baharu seperti teknologi tenaga, digital, keselamatan siber, robotik autonomi dan teknologi bawah laut.
Sementara itu, perkembangan penting yang turut dicapai bagi mengukuhkan ekosistem ini adalah peralihan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) kini di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Yang mana peralihan ini dilihat berupaya melonjakkan tahap pemantauan serta pelaksanaan program pembangunan Bumiputera secara lebih berpusat dan efektif. Tindakan ini selari dengan matlamat mempercepatkan prestasi inisiatif di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).