Artikel

Kadar Tambang ECRL Masih Diteliti, Akan Diumum Setelah Raih Kelulusan – MRL

Kadar tambang bagi perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini dijelaskan masih di bawah penilaian dan hanya akan diumumkan secara rasmi setelah meraih kelulusan pihak berkuasa bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).

Makluman Malaysia Rail Link (MRL) ini susulan terdapat perkongsian yang tidak tepat berhubung kadar tambang tersebut. Setakat ini, kadar tambang itu sedang diperhalusi bersama pihak kepentingan termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk memastikan ia kekal berpatutan, berdaya saing dan mesra pengguna.

Sebarang penularan berhubung kadar tambang yang diterbitkan di media sosial ketika ini dijelaskan tidak benar.

Seperti yang umum sedia maklum fasa awal operasi jajaran ECRL ini akan dimulakan pada Januari 2027 kelak yang mana jajaran sepanjang 665 kilometer ini akan menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur meliputi Kelantan, Terengganu dan Pahang bersama Selangor di Pantai Barat, Semenanjung Malaysia.