Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini telah mengumumkan kemas kini baharu bagi senarai sekuriti patuh syariahnya dengan mengeluarkan 18 saham dan menambah 44 nama syarikat baharu.
Langkah ini menyaksikan beberapa syarikat terkenal dikeluarkan daripada senarai tersebut, ini termasuk firma pemasaran media sosial Foodie Media Bhd, pengilang kontrak Globetronics Technology Bhd, serta pedagang mesin arked Semico Capital Bhd. Keputusan penyingkiran kaunter-kaunter berkenaan berkuat kuasa secara rasmi pada hari ini.

Sebaliknya, senarai kali ini membawa berita baik buat sebilangan syarikat antaranya nama firma reka bentuk cip SkyeChip Bhd dan juga Empire Premium Food Bhd, yang terkenal sebagai pengendali rangkaian Empire Sushi. Kemasukan ini membuka ruang yang lebih luas kepada syarikat tersebut untuk menarik minat pelabur yang mementingkan prinsip Islam.
Secara umumnnya, status tidak patuh syariah bagi sesebuah saham sering kali mencetuskan gelombang penjualan besar-besaran oleh para pemegang saham, terutamanya daripada kalangan pelabur institusi yang terikat dengan mandat pelaburan Islam. Selain daripada penglibatan dalam aktiviti yang jelas dilarang seperti perjudian, aktiviti berunsur riba, atau alkohol, sesebuah syarikat juga boleh kehilangan status patuh syariah sekiranya mereka mengambil atau menanggung bebanan hutang berasaskan faedah yang berlebihan.
Semakan berkala senarai patuh syariah ini untuk makluman dilakukan sebanyak dua kali setahun, iaitu pada hari Jumaat terakhir bagi bulan Mei dan November. Bagi edisi kali ini, penilaian terperinci telah dibuat berdasarkan semakan ke atas penyata kewangan teraudit yang diterbitkan di laman web Bursa Malaysia antara tempoh 1 Oktober 2025 dan 31 Mac 2026. Melalui pelancaran senarai terbaharu ini, Bursa Malaysia kini merekodkan sebanyak 886 saham yang diklasifikasikan sebagai patuh syariah daripada keseluruhan lebih 1,000 kaunter yang didagangkan.