Pasaran Malaysia terus memaparkan sokongan yang positif apabila kini hampir 22% majikan di Malaysia, direkodkan menggaji kumpulan pekerja yang berstatus orang kurang upaya (OKU). Berlandaskan penilaian semasa, 81% majikan yang berkaitan menilai prestasi pekerja OKU adalah setanding dengan pekerja lain.
Dapatan ini menurut tinjauan Jabatan Perangkaan (DOSM) memperlihatkan 71.9% majikan daripada 1,830 majikan yang terlibat mengiktiraf peranan pekerja OKU dalam memacu aliran produktiviti dan inovasi di tempat kerja. Menariknya, tinjauan turut dapati hampir 30% penggajian pekerja OKU adalah dalam kategori tugasan fizikal. Perihal ini sekali gus memberi cerminan akan keterbukaan peluang ekonomi kepada kumpulan ini semakin meluas.
Biarpun kesedaran pengambilan pekerja OKU dilihat semakin meningkat, namun terdapat cabaran perlu diatasi kumpulan majikan. Ini merangkumi kos pengubahsuaian tempat kerja supaya lebih mesra dengan kemudahan pekerja OKU (63.3%), kesukaran mendapatkan calon pekerja yang sesuai (78.6%) selain tahap kesedaran majikan berhubung faedah dan insentif yang perlu ditambahbaik.