Artikel

Konsep PAKW Kini Diteliti Nilai Kelayakan Bantuan – Tidak Hanya Berasaskan B40, M40 Dan T20

Konsep Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) kini sedang diteliti bagi membolehkan penilaian yang lebih tepat berhubung kelayakan perolehan bantuan dilaraskan, berbanding sekadar bergantung kepada klasifikasi B40, M40 dan T20 sebelum ini.

Menurut Kementerian Ekonomi pada sidang hari ini, semakan yang masih di peringkat awal ini dilaksanakan untuk mengambil pendekatan yang lebih adil dalam menentukan kelayakan bantuan dan subsidi buat seluruh rakyat. Langkah ini secara langsung mengambil kira aspek pendapatan boleh guna bersih serta komitmen isi rumah.

Perubahan ini didorong oleh realiti di mana terdapat sebilangan isi rumah yang memiliki pendapatan kasar yang tinggi, namun terpaksa berdepan dengan jumlah tanggungan yang besar. Oleh itu, keperluan sokongan bantuan wajar ditumpukan kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan, dan bukan lagi hanya bersandarkan kepada mereka yang berpendapatan rendah semata.

Melalui pendekatan baharu itu, Kementerian Ekonomi dalam sidang bulanan hari ini memberi jaminan bahawa sebarang keputusan polisi kelak tidak akan membebankan rakyat. Setakat ini, semakan tersebut masih dijalankan secara dalaman dan belum melibatkan sebarang keputusan di peringkat Kabinet.