PLUS Malaysia menjangkakan sebanyak 2.2 juta kenderaan sehari akan direkodkan bermula 22 Mei, Jumaat ini di rangkaian lebuhraya kendaliannya sempena musim cuti berganda melibatkan Cuti Pertengahan Tahun Persekolahan dan sambutan perayaan Hari Raya Aidiladha, Hari Wesak serta Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh yang sama.
Bagi menghindari isu kesesakan, PLUS menasihati orang awam untuk merancang perjalanan balik ke kampung atau bercuti dengan lebih awal, susulan jangkaan peningkatan aliran trafik di seluruh rangkaian lebuh rayanya, termasuk di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) mulai 22 Mei hingga 7 Jun 2026 ini.
Hari-hari puncak dijangka pada 22, 23, 26, 28, 29, 30 dan 31 Mei 2026 bagi kenderaan yang keluar dari Lembah Klang, manakala bagi perjalanan kembali semula ke Lembah Klang adalah pada 4, 5, 6 dan 7 Jun 2026.
Berlandaskan data itu, PLUS akan mengaktifkan Smart Lane di 33 lokasi tumpuan trafik bagi menambah kapasiti lorong, menugaskan lebih 500 anggota PLUSRonda dan LPT2Ronda untuk menjalankan rondaan 24 jam sehari, mengoptimumkan operasi dan membuka semua lorong di plaza tol serta pemantauan trafik masa nyata menerusi Pusat Pemantauan Trafik (TMC).
Sementara untuk kemudahan pengguna pula, semua pihak boleh merancang perjalanan dengan menggunakan aplikasi MyPLUS-TTA untuk ketahui lanjut berkenaan jadual perjalanan yang terdia pada rangkaian PLUS. Pada masa sama, PLUS turut mengingatkan pengguna lebuh raya supaya memastikan baki kad Touch ‘n Go atau eWallet (bagi pengguna RFID dan JustGO) sentiasa mencukupi sebelum memulakan perjalanan di lebuh raya bagi mengelakkan sebarang kesesakan kenderaan.