Pharmaniaga Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 6.4% kepada RM32.2 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, berbanding RM30.24 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Lonjakan ini dipacu oleh peningkatan jumlah tempahan daripada hospital kerajaan, dengan perolehan hasil kumpulan turut meningkat 11.7% mencecah RM1.18 bilion. Seiring dengan prestasi positif ini, syarikat farmaseutikal tersebut mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 25 sen sesaham.
Portfolio kumpulan juga dijangka terus berkembang kukuh melalui segmen biofarmaseutikal. Dengan dua pencapaian utama yang bakal memacu pertumbuhan masa depan adalah jangkaan pembekalan insulin manusia bermula pertengahan 2026 serta kelulusan saringan bagi vaksin konjugat pneumokokal daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Sementara bagi segmen logistik dan pengedaran, Pharmaniaga sedang memantau rapi tekanan kos akibat konflik yang berlaku di Asia Barat. Dan setakat ini tiada sebarang gangguan langsung dikesan terhadap rantaian bekalan ubat-ubatan kepada sistem penjagaan kesihatan awam negara.
Kumpulan itu memberi jaminan bahawa kedudukan inventori mereka kekal stabil dengan tahap stok penampan yang mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa di seluruh hospital dan fasiliti kesihatan. Pharmaniaga juga menegaskan komitmen mereka untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi memastikan kecekapan serta kebolehpercayaan rantaian bekalan ubat-ubatan sentiasa terpelihara.
